Saturday, February 12, 2011

Kisah Sumaiyah Binti Khaiyat



Berdasarkan sejarah Islam, Syuhada' pertama penganut Islam ialah seorang wanita iaitu Sumaiyah binti Khaiyat yang merupakan isteri kepada Yasir bin Amin Al-Ansi dan juga ibu kepada Muammar bin Yasir.

Sumaiyah bin Khaiyat adalah hamba perempuan Abu Huzaifah bin al-Mughirah Abdullah bin Umar al-Ansi. Beliau dikahwinkan dengan Yasir bin Amin Al-Ansi seorang pendatang dari Yaman yang mengikat janji setia dengan Huzaifah. Mereka dikurniakan anak lelaki bernama Ammar. Yasir juga dikenali sebagai Abu Ammar.
Sumaiyah dimerdekakan pada hari perkahwinannya dan tinggal bersama Huzaifah dibawah naungan Bani Makhzum.


Keluarga Yasir adalah di antara keluarga yang terawal memeluk Islam di Makkah ketika seruan dakwah baru sahaja di bawa oleh Rasulullah SAW. Mereka terpaksa menempuh penderitaan dan penyiksaan dari golongan musyrikin Makkah.

Bani Makhzum yang masih belum memeluk Islam ketika itu sangat marah apabila mengetahui keluarga Yasir memeluk Islam. Keluarga Yasir pun diseksa dengan pelbagai jenis seksaaan supaya mereka kembali kepada agama asal nenek moyang mereka yang menyembah berhala. Sumaiyah, Yasir dan Ammar telah di heret ke padang pasir dan dijemur dibawah pancaran matahari yang amat panas, mereka dipukul dan tidak diberi makan dan minum. Kaki dan tangan mereka diikat dengan rantai.
Pada suatu hari Rasulullah SAW lalu di tempat keluarga Yasir disiksa. Rasulullah SAW berkata " Bersabarlah, wahai keluarga Yasir. Balasan untuk kamu adalah Syurga".Kata-kata Rasulullah SAW itu telah menenagkan hati dan jiwa raga mereka, Iman mereka jadi bertambah teguh walaupun mereka disiksa dengan kejam dan zalim oleh Musyrikin dari Bani Makhzum.

Pada suatu hari datanglah Abu Jahal ke tempat penyeksaan tersebut sambil menghina dan mencerca sumaiyah dan turut sama menyeksa Sumaiyah. Abu Jahal memaksa Sumaiyah supaya meninggalkan Islam. Tetapi mereka menolaknya dan tetap beriman dengan Allah SWT dan tidak sekali-kali akan meninggalkan Islam. Sumaiyah diikat di antara dua ekor unta.

Abu Jahal sangat marah dengan Sikap Sumaiyyah yang tidak mahu tunduk dengan kemahuannya dan musyrikin Makkah. Abu Jahal pun mengambil lembing lalu menusukkan lembing tersebut di dada Sumaiyyah. Sumaiyyah pun gugurlah sebagai Syahid Pertama di bumi Makkah. Suaminya Yasir juga turut Syahid kemudiannya.
Nama Sumaiyah binti Khaiyat tercatat dalam sejarah Islam sebagai Syahid pertama umat Islam yang mati kerana mempertahankan aqidah dan keimanannya kepada Allah SWT. Setelah Sumaiyyah dan Yasir gugur sebagai syuhada', Ammar pula dipaksa menyebut nama-nama berhala kaum musyrikin. Dalam keadaan terpaksa, Ammar terpaksa menuruti kehendak kaum musyrikin dengan menyebut nama-nama berhala.
Ammar hanya menyebut dilidah semata-mata tetapi dihatinya terus memuji Allah SWT. Dalam keadaan darurat ini Ammar terpaksa memilih antara rukshah dan azimah. Musyrikin Makkah pun melepaskan Ammar kerana disangkanya sudah mengikut kehendak mereka.Selepas dilepaskan dari seksaan Ammar pun menemui Rasulullah SAW menceritakan perbuatannya tadi. Rasulullah SAW bertanya bagaimana dengan hatimu? jawab Ammar saya tetap beriman dengan Allah. Rasulullah SAW membenarkan tindakan Ammar tersebut yang memilih rukshah.
wallahua'lam...
Rujukan: Safwan Fathy, Kisah Wanita Islam Terbilang, Times book international, 1988

Thursday, January 27, 2011

PERBAHASAN MELIHAT AURAT LELAKI DAN WANITA

            Islam mengajar kepada umatnya supaya menjaga 5 perkara iaitu agama, akal, keturunan, diri, dan harta. Kesemua ini boleh dilihat di dalam ayat Al-Quran atau hadis Nabi S.A.W. yang beredar sekitar pemeliharaan perkara-perkara yang telah disebutkan. Contohnya pengharaman arak adalah untuk memelihara akal manusia daripada rosak, pengharaman zina adalah kerana ia boleh merosakkan diri dan keturunan          

            Antara perkara yang diharamkan oleh Islam ialah pandangan lelaki kepada wanita dan sebaliknya yang boleh menyebabkan kepada maksiat. Syair Arab pernah menyebutkan :


نَظرَةٌ , فَابْتِسَامَةٌ , فَسَلامٌ     *      فكَلامٌ , فَمَوْعِدٌ , فَلِقَاءٌ

Maksudnya : Pandangan, kemudian senyuman dan salam
                    Seterusnya kata-kata, temu janji dan pertemuan.

            Jelas kepada kita daripada rangkap ini bahawa pandangan itu boleh mengakibatkan kesan yang tidak baik sesama masyarakat iaitu berleluasanya gejala sosial. Oleh sebab itulah Allah S.W.T. memerintahkan kepada orang-orang beriman supaya menjaga pendangan serta kemaluan berdasarkan ayat Al-Quran di dalam Surah An-Nuur :

قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ {30} وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَى عَوْرَاتِ النِّسَاءِ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُون {31} وَأَنْكِحُوا الْأَيَامَى مِنْكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ إِنْ يَكُونُوا فُقَرَاءَ يُغْنِهِمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ {32}

Maksudnya : “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.(30) Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu Berjaya (31). Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang salih dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya, kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui”. (Ayat Al-Quran, Surah An-Nuur ayat 30-32)

Panduan yang diberikan di dalam ayat berkenaan ialah :

1-    Suruhan menjaga pandangan dan kemaluan yang ditujukan kepada kaum lelaki dan wanita.
2-    Aturan Islam dalam menerangkan penampilan seorang muslimah.

            Jika diperhatikan kepada kedua-dua ayat tadi, ia memberikan gambaran kepada kita bahawa beberapa jenis pandangan itu ada kalanya dibenarkan di sisi syara’. Sebab itulah Allah S.W.T menyebutkan ((يغضوا من أبصارهم dan (يغضضن من أبصارهن) yang menunjukkan beberapa pandangan manusia ini perlu dijaga dan dipelihara sedangkan bakinya ada keringanan daripada syariat seperti pendangan ketika menjalankan urusan jual beli dan lain-lain. Walaupun begitu, Islam masih menggariskan syarat yang perlu dipatuhi bagi menjaga umatnya agar tidak melakukan perkara yang dilarang Allah S.W.T.

Maksud Menjaga Pandangan

            Ayat Al-Quran di atas memberikan maksud menjaga pandangan itu dengan menundukkannya daripada perkara-perkara yang tidak dibenarkan syara’. Bukanlah maksud kita memejam mata atau berjalan dengan memandang ke tanah tetapi ia adalah menjaga pandangan supaya tidak berasa seronok apabila melihat kecantikannya serta tidak memandang dengan pandangan yang lama.

Sabda Nabi S.A.W. kepada Saidina Ali : (Wahai Ali, janganlah pandangan itu dituruti dengan pandangan yang lain. Sesungguhnya pandangan pertama itu bagimu dan bukannya pandangan selepas itu). Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan At-Tirmizi.

Sabda baginda lagi : (Dua mata turut berzina, dan zinanya ialah pandangan)Riwayat Imam Bukhari.

Zina mata yang dimaksudkan di sini ialah berseronok dengan pandangan yang tidak dibeanrkan syara’.

            Bukan sahaja Al-Quran bahkan di dalam kitab Injil juga ada menyebutkan kata-kata Nabi Isa a.s. : (Telah berkata mereka yang hidup sebelum kamu – “Jangan berzina” dan aku mengatakan kepada kamu – sesiapa yang melihat sesuatu dengan pandangan matanya maka dia telah berzina).

Pengharaman Pandangan Kepada Aurat

            Antara pandangan yang perlu dijaga ialah pandangan kepada aurat, kerana Nabi S.A.W. melarang umatnya memandang kepada aurat walau pandangan seorang lelaki kepada lelaki yang lain atau seorang wanita kepada wanita yang lain samada keduanya disertakan dengan syahwat atau tidak.

Sabda Nabi S.A.W. : (Tidaklah bagi seorang lelaki melihat kepada aurat lelaki yang lain, dan tidaklah seorang wanita melihat kepada aurat wanita yang lain. Dan tidaklah juga seorang lelaki tidur berkongsi satu selimut dengan lelaki yang lain, dan juga wanita dengan wanita yang lain dalam satu selimut). – Riwayat Imam Muslim, Ahmad, Abu Daud dan At-Tirmizi.

Para ulama’ berpandukan hadis ini dalam mengatakan tidak boleh bagi seorang lelaki tidur bersama lelaki lain dan wanita tidur bersama wanita lain dalam satu selimut dengan bersentuhan antara satu sama lain.

·         Batasan aurat lelaki yang tidak boleh dilihat oleh lelaki dan wanita – antara pusat dan lutut, manakala sebahagian ulama’ seperti Ibnu Hazam dan sekumpulan ulama’ Mazhab Maliki mengatakan bahawa peha itu bukan aurat.

·         Batasan aurat wanita yang tidak boleh dilihat oleh lelaki ajnabi – seluruh badan melainkan muka dan tapak tangan.

Adapun aurat dengan muhrim mereka seperti bapa, saudara dan sebagainya akan dinyatakan dalam perbahasan akan datang.

            Pengharaman yang disebutkan sebelum ini adalah apabila ia terjadi dalam suatu keadaan yang tidak terdesak, dan hukumnya akan berubah jika berlaku dalam situasi mendesak seperti perawatan dan lain-lain. Perlu diingat, walaupun ada batasan pandangan yang dibenarkan syara’ namun dengan syarat aman daripada fitnah dan syahwat, dan jika tidak maka keharusan ini tidak lagi dibenarkan.

Had pandangan yang dibenarkan syara’ antara lelaki dan wanita

1.    Wanita kepada lelaki – Nabi S.A.W. mengizinkan kepada Saidatina Aisyah untuk melihat orang Habsyi yang sedang bermain pedang di Masjid Nabawi, sehinggalah beliau berasa bosan dan berlalu pergi. – Riwayat Imam Bukhari dan Muslim.

Pandangan yang diharuskan bagi kategori ini ialah apabila tidak disertakan syahwat dan aman daripada fitnah.

2.    Lelaki kepada wanita – Muka dan tapak tangan selagi mana tidak disertakan syahwat dan aman daripada fitnah.

       Daripada Aisyah bahawa Asma’ binti Abu Bakar – saudara kandung beliau – datang kepada Nabi S.A.W. dengan keadaan pakaian yang nipis dan menampakkan bentuk badan, maka Nabi berpaling dan bersabda :

(Wahai Asma’, sesungguhnya wanita apabila telah baligh tidak dibenarkan melihatnya melainkan ini dan ini). Lalu baginda mengisyaratkan kepada muka dan kedua tapak tangannya). Riwayat Abu Daud.

       Walaupun hadis di atas atas ada yang mengatakan ia tidak kuat untuk dijadikan sandaran namun telah disokong hadis sohih lain yang membenarkan pandangan kepada muka dan tapak tangan ketika aman daripada fitnah.

Kesimpulan : Pandangan kepada bahagian anggota badan lelaki dan wanita yang bukan aurat adalah dibenarkan selagi mana tidak berulang kali atau memandang dengan lama serta aman daripada fitnah.

Pandangan Yang Dimaafkan

            Namun, Islam memaafkan pandangan yang tidak disengajakan pada kali pertama kepada perkara yang tidak dibenarkan. Daripada Saidina Jarir bin Abdullah telah berkata : Aku telah bertanya kepada Nabi S.A.W. tentang pandangan secara tiba-tiba. Maka baginda menjawab :

(Palingkan pandanganmu).maksudnya janganlah mengulangi pandangan tersebut kali kedua.

Jelas kepada kita bahawa pandangan yang tidak dibenarkan ialah pandangan seterusnya yang boleh menimbulkan fitnah dan menyebabkan rasa seronok serta memandang dengan lama walau tidak membangkitkan syahwat.

Bahagian Yang Dibenarkan Untuk Diperlihatkan

Potongan firman Allah S.W.T. (ولا يبدين زينتهن إلا ما ظهر منها) daripada Surah An-Nuur ayat 31, menyebutkan bahawa kaum wanita tidak dibenarkan untuk memperlihatkan perhiasan mereka melainkan apa yang zahir daripadanya. Maksud perhiasan wanita ialah apa yang menghiasi dan mencantikkan dirinya samada secara semulajadi seperti kecantikan muka, rambut dan badan atau bukan semulajadi seperti pakaian, barang kemas dan sebagainya.

Dalam ayat ini, Allah S.W.T membenarkan perhiasan wanita itu diperlihatkan melainkan apa yang terzahir daripadanya (إلا ما ظهر منها). Khilaf ulama’ berlaku dalam mentakrifkan maksud perkara yang zahir daripada perhiasan wanita :

·         Kebanyakan para salaf berpendapat ia adalah apa yang berlaku pada adat iaitu bahagian yang zahir daripada perhiasan wanita.
·         Pendapat Ibnu Abbas dan Anas yang mengharuskan bagi seorang wanita memakai celak dan cincin. Pengharusan kedua ini secara umum membawa maksud membenarkan bahagian tubuh badan yang dibenarkan untuk dilihat iaitu muka dan tapak tangan.
·         Aisyah dan Qatadah – gelang tangan, dan ini bermaksud mengecualikan bahagian daripada tangan yang termasuk dalam had pemakaian gelang tangan adalah tempat yang dilarang untuk dilihat lelaki yang ajnabi.
·         Abdullah bin Mas’ud dan An-Nakhaei – pakaian luaran.

Pendapat yang terpilih – bahagian muka dan tapak tangan beserta perhiasan yang dibenarkan padanya seperti cincin di tangan dan celak di mata dengan tidak berlebih-lebihan pada pemakaiannya. Pendapat ini juga telah dinyatakan oleh sekumpulan para sahabat dan tabiin.

            Tetapi berbeza dengan gincu, pewarna dan bedak yang dipakai oleh kaum wanita pada zaman sekarang kerana ia termasuk dalam sikap terlalu berlebih-lebihan dan kesemua ini hanya dibenarkan dipakai di dalam rumah sahaja. Samalah juga keadaan mereka yang berhias supaya menjadi perhatian kaum lelaki maka ini juga termasuk dalam perhiasan yang diharamkan.

Aurat Wanita

1.    Aurat dengan lelaki ajnabi dan wanita bukan muslimah : seluruh badan melainkan muka dan tapak tangan.

2.    Aurat dengan golongan yang disebutkan oleh Allah S.W.T. dalam Surah An-Nuur ayat 31 (suami, bapa, bapa mertua, anak, anak tiri, saudara lelaki kandung, anak saudara lelaki kepada saudara kandung lelaki dan wanita, wanita muslimah, hamba, mereka yang tiada syahwat kepada wanita dan selalu bersamanya seperti khadam atau wakil, kanak-kanak) : bahagian yang zahir daripada tubuh badan seperti telinga, leher, rambut, tangan, betis dan sebagainya. Bahagian badan yang tidak kelihatan seperti belakang badan, perut, kemaluan, dan peha maka tidak dibenarkan untuk diperlihatkan kepada mereka melainkan suami.

            Oleh sebab itulah Allah S.W.T memerintahkan kepada para muslimah untuk menutup tubuh badan mereka ketika keluar ke tempat awam dengan jubah / pakaian yang tidak menampakkan bentuk tubuh mereka serta membezakan antara mereka dan orang kafir. Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Ahzab ayat 59 :

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا {59}  

Maksudnya : Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Surah Al-Ahzab ayat 59)

            Hal ini disebabkan wanita pada zaman jahiliah menampakkan perhiasan apabila keluar daripada rumah mereka seperti bahagian leher dan rambut dan membuatkan lelaki terpesona. Maka turunlah ayat yang memerintahkan wanita muslimah melonggarkan jubah sehingga tidak akan ternampak bentuk tubuh badan yang boleh menimbulkan fitnah.

Pandangan Kepada Wanita Di Dalam Gambar Dan Yang Seumpamanya

            Tidak dibenarkan kepada lelaki mahupun wanita melihat aurat sesama mereka di dalam gambar, video dan seumpamanya yang boleh memantulkan dan menayangkan bahagian tubuh masing-masing.

            Begitu juga keadaan suami atau isteri yang tidak dibolehkan untuk melihat video lucah dan seumpamanya dengan alasan untuk menaikkan syahwat sebelum melakukan hubungan atau pada waktu yang lain kerana ia akan membawa kepada bayangan individu lain ketika melaksanakan hubungan suami isteri. Menurut pandangan para ulama’ perkara ini boleh membawa kepada hukum zina jika seorang suami atau isteri membayangkan orang lain ketika bersama dengan pasangannya.

            Tentang bahagian yang boleh dilihat daripada lelaki dan perempuan di atas pantulan (televisyen, video, gambar dan seumpamanya) pula melihat kepada perbahasan yang telah dijelaskan sebelum ini.

Melihat Aurat Orang Kafir

            Hukum sama turut digariskan kepada umat Islam apabila diharamkan untuk melihat aurat orang kafir samada lelaki atau wanita. Hal ini kerana bukanlah perbezaan agama itu menjadi suatu penilaian tetapi alasan yang digunakan ialah tempat-tempat yang dilarang untuk dilihat tersebut boleh membangkitkan syahwat dan membawa kepada kemungkaran. Perkara ini termasuk juga dalam suruhan umum Allah S.W.T. (Surah An-Nuur ayat 30-32) kepada umat Islam supaya menjaga pandangan tidak kira samada ia melibatkan aurat sesama muslim atau kafir.

Kesimpulan daripada perbahasan :

1)    Melihat wanita yang tidak menutup auratnya adalah haram, begitu juga wanita melihat lelaki yang tidak menutupi auratnya hukumnya haram.
2)    Bila seorang lelaki melihatnya dengan syahwat yang dapat mengundang fitnah maka hukumnya haram.
3)    Melihat wanita yang berpakaian sesuai dengan syariat Islam dengan tidak menampakkan perhiasannya hukumnya boleh dengan syarat tidak dengan pandangan bersyahwat, seperti melihatnya di jalanan, di pejabat, pasar, masjid, saat menunaikan ibadah haji atau di dalam kenderaan awam, begitu juga wanita melihat lelaki yang berpakaian sopan di jalanan, pejabat, atau yang seumpamanya sebagaimana Sayyidatuna ‘Aisyah radhiallahu’anha melihat para lelaki Habasyah saat mereka bermain :

قالت عائشة : كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يسترني بردائه وأنا أنظر إلى الحبشة يلعبون في المسجد.

Sayyidatuna ‘Aisyah radhiallahu’anha berkata : Suatu ketika Rasulullah menutupiku dengan selendangnya di saat daku memandang kepada sekumpulan lelaki Habsyah bermain di halaman masjid.  (HR Bukhari dan Muslim).
4)    Hukum-hukum di atas turut mencakupi qadhiyah(keadaan) melihat wanita di televisyen atau melihat gambarnya di majalah-majalah, akhbar-akhbar, buku-buku, dan begitu juga sebaliknya.
5)    Penjelasan di atas menafikan pendapat yang memperbolehkan melihat wanita secara mutlak samada wanita itu berjilbab atau tidak, dengan memperlihatkan perhiasannya di televisyen, majalah, akhbar mahupun buku-buku. Ini bermaksud, andai gambar yang terpampang di dada sesebuah akhbar contohnya, dalam keadaan yang tidak menutup aurat, maka haram bagi lelaki memandang gambar itu. Begitu juga, andai gambar yang terpampang di dada akhbar itu adalah wanita berpakaian sopan sekalipun, namun jika pandangan seseorang lelaki terhadap gambar berkenaan adalah dengan pandangan syahwat, tetap haram hukumnya kerana ia  yang membawa kepada fitnah hatinya.


Penutup

            Ajaran Islam amat menitikberatkan martabat kaum wanita dalam masyarakat sehingga meletakkan beberapa panduan yang perlu diikuti oleh kaum muslimah. Segala perkara yang berkaitan dengan mereka adalah untuk menjaga kehormatan dan kesucian mengikut batasan yang ditunjukkan. Contoh terbaik yang mesti diambil ialah wanita muslimah yang hidup pada zaman Rasulullah S.A.W. kerana mereka berada secara langsung di bawah tunjuk ajar baginda menerusi penjelasan kepada ayat-ayat Allah dan teladan isteri-isteri baginda hasil didikan Nabi S.A.W. Semoga dengan catatan ringkas ini dapat diambil perhatian oleh umat Islam dalam mengikut cara dan ajaran agama secara keseluruhannya dengan berpandukan kepada Al-Quran dan As-Sunnah.


Rujukan :

1.    An-Nazhar fi Ahkam An-Nazar bi Hassatil Basar karangan Al-Imam Al-Faqih Al-Hafiz Abu Al-Hasan Ali bin Muhammad bin Abdul Malik (Ibnu Al-Qattan Al-Fasi), cetakan pertama tahun 2006/1427 H, Maktabah Al-Iman.

2.    Al-Halal wal Haram Fil Islam karangan Dr. Syeikh Yusuf Al-Qardhawi, cetakan ke-15 tahun 1994/1415 H, Al-Maktab Al-Islami.

3.    Hukm Al-Islam fi Wasail Al-I’lam karangan Abdullah Nasih Ulwan cetakan ketujuh tahun 2001/1421 H, Dar As-Salam.

Tuesday, January 25, 2011

Sahabat - Amar


ASSALAMUALAIKUM..kepada sahabat di Smk Dato' Kamaruddin, Kolej Matrikulasi Perlis,Universiti Teknologi Malaysia..uhibbukumfillah....Moga ikatan persahabatan kekal hingga ke syura..
Amin.........

untuk mu wanita


Sabda Rasulullah SAW dalam hadis Riwayat Muslim, "Harta yang paling berharga di dunia adalah wanita yang solehah."

Ramai manusia menisbahkan kemulian wanita pada kecantikan semata-mata.

Ada juga yang menisbahkan kemuliaan mereka pada kekayaan, dan tidak kurang juga pada keturunan.

Tetapi ini semua adalah penilaian oleh insan yang buta mata hatinya.

Sesungguhnya kemuliaan semua makhluk Allah SWT adalah terletak pada tahap ketaqwaan kepada Allah SWT.

Wanita adalah makhluk Allah yang amat istimewa.

Kemuliaan dan keruntuhan sesuatu bangsa terletak di tangan wanita, walaupun mereka diselubungi kelemahan, tapi teriakan mereka mampu merubah segalanya.

Kerana itulah sebagai anak, dia perlu menjadi anak yang solehah.

Manakala sebagai isteri, dia menjadi isteri yang menyenangkan dan menenangkan hati suaminya.

Sebagai ibu pula, dia akan mendidik anaknya dengan penuh kasih dan sayang.

Firman Allah SWT dalam surah An-Nisa' ayat ke-24 yang bermaksud, "Barangsiapa yang mengerjakan amalan yang soleh baik lelaki mahupun wanita sedang ia seorang yang beriman maka mereka itu masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiaya walau sedikitpun."

Dalam Islam wanita amat dihormati dan dihargai peranannya. Sebagaimana eratnya hubungan siang dan malam yang saling melengkapi, begitu juga lelaki dan wanita diciptakan untuk saling melengkapi.

Setiap lelaki dan wanita memiliki tugas-tugas dan kewajipan-kewajipan yang berlainan, sesuai dengan fitrah masing-masing. Namun, matlamat hidup setiap lelaki dan wanita adalah sama, iaitu mencari keredhaan Allah SWT.

Rasulullah SAW telah memerintahkan supaya kaum wanita diperlakukan menurut fitrah ia dijadikan sebagaimana dalam sabdanya yang bermaksud,

"Berlaku baiklah terhadap kaum wanita lantaran mereka diciptakan dari tulang rusuk yang bengkok adalah bahagian yang teratas, jika kamu cuba untuk meluruskannya kamu akan mematahkannya dan jika kamu membiarkannya ia akan tetap bengkok, maka berlaku baiklah terhadap kaum wanita kamu." - Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim

Nilai wanita bukan terletak pada pakaiannya yang menonjol, berhias diri untuk memperlihatkan kecantikannya, tetapi hakikatnya ialah pada kesopanan, rasa malu dan keterbatasan dalam pergaulan.

Wanita solehah itu adalah wanita yang tegar menjaga maruah serta apa yang lahir dari dirinya, dari hujung rambut hingga hujung kaki, termasuklah wajahnya, suaranya, senyum tawanya, jalannya, tulisannya hatta namanya sekalipun.

Wajahnya bukan aurat tetapi ada kalanya ia menjadi aurat

Dalam mazhab syafie ada khilafnya berdasarkan ayat ke-30 dalam surah an-Nur.

Allah melarang wanita beriman menunjukkan perhiasannya, kecuali apa yang telah zahir daripadanya.

Ulama Syafie berpendapat makna "apa yang zahir daripadanya" adalah muka dan tapak tangan, tetapi bagi wajah yang boleh mengundang fitnah, ia tetap menjadi aurat.

Wanita yang khuatir wajahnya boleh melalaikan lelaki yang memandangnya pasti akan menganggapnya sebagai aurat, lalu mengenakan purdah pada wajahnya.

Mungkin berat bagi wanita bergelar remaja untuk mengamalkannya, tapi cukuplah dengan tidak terlalu menonjolkan diri mereka di hadapan ajnabi atau tidak menjadikan wajah mereka sebagai paparan umum seperti friendster, facebook dan lain-lain.

Suaranya bukan aurat, tapi ada kalanya ia menjadi aurat.

Wanita yang memahami erti kesolehan tidak akan melembutkan suaranya di hadapan ajnabi kerana memahami perintah Allah SWT.

"Maka janganlah kamu melemah lembutkan suara dalam bebicara sehingga bangkit nafsu orang yang ada penyakit hatinya." (Surah Al-Ahzab, 33)

Jadi, bertegaslah apabila berurusan dengan lelaki ajnabi.

Pergaulan yang betul telah Allah ajarkan melalui kisah dua orang puteri Nabi Syuib AS.

Bagaimana mereka ketika ingin memberi minum haiwan ternakan, mereka dapati ramai pengembala di sumur. Hajat mereka tidak kesampaian.

Nabi Musa AS telah mengambil alih tugas mereka.

Apabila selesai memberi minum haiwan ternakan tersebut, salah seorang daripada puteri tersebut mendatangi Nabi Musa AS dengan keadaan malu untuk menyampaikan pesanan ayahnya menjemput Nabi Musa AS ke rumahnya.

Daripada peristiwa ini, Allah menggambarkan wanita solehah itu adalah wanita yang tidak memdedahkan dirinya kepada pandangan umum.

Apabila ia berurusan dengan lelaki ajnabi, maka ia akan tunduk dan melahirkan rasa malu.

Berurusanlah dengan ajnabi tanpa mendatangkan keadaan khalwat (berdua-duaan).

Khalwat paling mudah berlaku dalam hubungan cinta terlarang. Khalwat juga adalah bunga-bunga zina.

Berbual-bual di telefon atau SMS di antara lelaki dan wanita kerana dasar cinta terlarang sehingga menyebabkan nafsu syahwat bergelora juga dikira sebagai khalwat kerana ia berlaku secara berdua-duaan.

Saidina Umar r.a berkata, "Aku lebih rela berjalan di belakang seekor singa daripada berjalan di belakang seorang wanita."

Seorang wanita solehah tidak akan membiarkan lelaki berjalan di belakangnya kerana dia faham seribu satu fitnah boleh timbul daripada keadaan tersebut.

Bagaimana pula keadaan wanita yang tidak melabuhkan jilbabnya apabila lelaki berjalan di belakangnya?

Maka, labuhkanlah tudungmu.

Ketahuilah bahawa pada pagi hari perintah berjilbab diwahyukan kepada Rasulullah SAW,seorang sahabiyah yang masih tidak tahu tentang wahyu tersebut telah keluar dari rumahnya tanpa jilbab. Kemudian seseorang telah menegurnya, "Mengapa engkau tidak berjilbab, adakah engkau tidak tahu tentang perintah memakainya?"

Lalu wanita tersebut berhenti melangkah dan menyuruh seseorang mengambil jilbabnya, lalu beliau berkata, "Aku tidak mahu selangkah pun aku berjalan dalam keadaan melanggari perintah Allah SWT."

Malangnya hari ini apa yang terjadi kepada wanita Islam; bertahun-tahun belajar Islam tetapi masih tiada kekuatan untuk mengamalkannya.

Saudariku,

Bangkitlah dari lenamu yang panjang dan tidak berkesudahan.

Sekali kamu terjatuh, jangan biarkan diri kamu jatuh selamanya.

Kamu punya kekuatan untuk bangkit semula, walaupun kita berdosa sebanyak buih yang memutih di lautan.

Yakinlah kasih sayang dan keampunan Allah terlalu luas.

Saudariku,

Hidup ini seperti mimpi, seorang pengemis bermimpi menjadi seorang raja, dipuji dan dipuja, segala kemuliaan dan kekayaan tunduk kepadanya, tapi bila dia sedar dari lenanya, dia masih seorang pengemis yang miskin dan tidak punya apa-apa.

Seorang raja yang bermimpi, menjadi seorang pengemis yang miskin dan hodoh, dia dihina dan dikeji di setiap persimpangan yang dilalui, tapi bila raja itu sedar dari lena, dia tetap seorang raja.

Matanglah dalam urusan akhiratmu. Jangan kerana kesenangan dunia yang sementara, kau sanggup menempah sengsara di akhirat selamanya.

Janganlah kerana kasih makhluk yang sementara, kau hilang kasih Allah SWT di akhirat sana. Jika kau hilang kasih Allah SWT, nescaya kau akan hilang segalanya.

Saudariku,

Saidatina Aisyah RA pernah berpesan,

"Sebaik-baik wanita adalah yang tidak memandang dan dipandang"

Jangan kau berasa bangga dengan kecantikanmu sehingga kau dikejar jutaan lelaki. Itu bukan kemuliaan bagimu.

Jika kau berasa bangga, kau menyamakan dirimu dengan pepasir di pantai, yang boleh dipijak dan dimiliki sesiapa sahaja.

Muliakanlah dirimu dengan taqwa, setanding mutiara Zabarjad, yang hanya mampu dimiliki penghuni syurga.

Wallahualam.

Sunday, January 23, 2011


SEKADAR PERKONGSIAN...
"Amalan manakah yang Allah terima?".Seperti biasa selesai majlis ilmu, si penceramah akan turut serta membantu petugas2 majlis mengemas kembali dewan majlis. Ketika beliau sedang menyusun kerusi, seorang petugas menghampiri beliau sambil berkata "Tuan, biarkan saja kami yg melakukannya kerana tuan masih penat berceramah tadi". Dengan senyum beliau menjawab, "Tidak mengapa, walaupun aku yg menyampaikan ilmu tetapi aku khuatir amalan manakah yg Allah terima dariku, sama ada kerana aku menyampaikan ilmu atau kerana aku menyusun kerusi2 ini" assyahid Imam Hasan al-Banna
shbt2...yang dikasihi, untuk memelihara hati kita, banyakkanlah baca doa ini,

اللَّهُمَّ آتِ نَفْسِي تَقْوَاهَا وَزَكِّهَا أنتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا أنتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Teks ruminya - Allahumma aati nafsii taqwaahaa.. wa zakkihaa anta khoiru man zakkaahaa.. anta waliyyuhaa wa maulaahaa...

Terjemahannya :

"Ya Allah kurniakanlah kpd hatiku ini akan sifat taqwa. Sucikanlah ia, Engkau sahajalah sebaik-baik yg mensucikan hati. Engkaulah pemiliknya dan tuannya"

Hadis Riwayat Imam Muslim

Bacalah dengan penuh penghayatan dan memahami maknanya. Semoga hati kita sentiasa terpelihara insyaAllah.....(^_^)..

Thursday, January 20, 2011

Cinta Songsang Semakin Songsang

>>>Perkongsian dan renungan untuk semua....<<<<


Dalam setahun kebelakangan ini, saya menerima permintaan daripada beberapa orang remaja yang memohon pertolongan. Ada yang bersemuka, ada juga secara maya. Permintaan ini datang dari suara insan yang jauh terbuang di dalam lubang yang dalam, memanggil saya untuk menolong mereka keluar, dari dunia gelap cinta seorang lelaki terhadap seorang lelaki, cinta songsang yang menyeksa si empunya diri.
hand_s.jpg

Ini bukan kisah golongan pondan, bukan golongan yang bergaul bebas dan hidup bergelumang dosa. Mereka adalah remaja yang baik, pada akhlak dan ibadah… namun dibelenggu dosa perasaan yang tersembunyi.
Bagi remaja yang telah kalah dengan perasaan itu, dan terjebak dengan perbuatan keji di sisi agama, saya tidak dapat berkata apa-apa… hanya kepada Allah jua saya pohonkan agar mereka ini bertemu cahaya di hujung jalan songsang yang mereka susuri itu. Namun yang ingin saya bincangkan di sini, adalah remaja yang baik, yang bersih, tetapi terperangkap dalam dunia yang cukup misteri ini… sebagai mangsa keadaan.
Mengapa saya katakan demikian? Hasil perkongsian cerita… boleh dikatakan setiap seorang dari lelaki pencinta lelaki ini, pernah menempuh pengalaman hidup yang hitam.

LATAR BELAKANG YANG MENJADI BEBAN HIDUP

Ada di antara mereka menjadi mangsa kecenderungan ibu bapa, yang menginginkan anak perempuan sehingga beliau dilayan seperti imaginasi si ibu dan bapa, lantas naluri yang dibentuk menjadi songsang, atas kesilapan ibu bapa. Mereka yang dari kumpulan ini, lazimnya turut berpewatakan lembut kesan persekitaran yang disentuh ke atas mereka.
Manakala sebahagian yang lain pula, pernah menjadi mangsa kepada perlakuan songsang pada usia awal remaja, dicemar oleh nafsu rakus mana-mana lelaki yang ada di sekeliling mereka… hingga akhirnya kanak-kanak ini membesar dengan membawa catatan hitam itu kepada sebuah dunia keremajaan dan kedewasaan yang mengelirukan.
Beberapa individu yang saya temui dari kumpulan kedua ini, mempunyai penampilan yang sempurna sebagai seorang lelaki, namun mereka menanggung kejanggalan naluri sebagai rahsia yang memakan diri.
Sukar untuk saya membantu, kerana kecelaruan ini bukan kecelaruan ilmu. Ia juga bukan kecelaruan emosi, tetapi kecelaruan identiti. Identiti adalah suatu rangkuman dimensi dalaman manusia yang terbentuk hasil dari pelbagai aspek kehidupan. Mengungkaikannya memerlukan kekuatan semangat dan kembali berbaik sangka kepada Allah terhadap potensi diri untuk pulih… dari satu peringkat ke satu peringkat.
keliru.jpg
Mungkin ada yang secara spontan menghukum golongan ini, namun saya sebagai seorang pendakwah tidak mampu untuk berbuat demikian. Membantu, sentiasa lebih utama untuk difikirkan. Siapalah saya untuk menilai dan menghukum, kerana penilaian saya juga akan dinilai oleh Maha Penilai di sana, dan Maha Menghukum atas keculasan saya tidak membantu sesama saudara.
Apatah lagi, mereka yang saya temui ini mempunyai syakhsiah yang baik. Mereka adalah remaja yang taat kepada Allah pada ibadah dan akhlak, tetapi mereka terseksa kerana menanggung ‘dosa perasaan’ lantaran kecenderungan diri yang ganjil itu. Malah saya hargai kepercayaan yang mereka berikan apabila tampil meminta pertolongan dari saya, walaupun tidak banyak yang dapat saya lakukan, selain sokongan nasihat dan keyakinan diri.

Menghadapi golongan ini, tidak boleh disamakan dengan pendekatan kita terhadap isu homoseksualiti. Nyatanya, kebanyakan artikel yang saya temui, mengecam homoseksualiti dengan sokongan keterangan al-Quran dan al-Hadith. Saya yakin, remaja yang datang bertemu dengan saya amat sedar akan hal ini. Kerana itulah mereka tidak berzina sejenis, mereka tidak bergaul bebas. Mereka datang meminta bantuan atas rasa bersalah yang tinggi terhadap naluri yang menyalahi iman itu. Maka mereka memerlukan nasihat, panduan dan sokongan. Bukan kecaman.

Kerana itu, saya lebih simpati, berbanding marah atau terkilan, kerana mereka tetap berada di dalam status mangsa, selagi mana perasaan itu tidak dimaterialisasikan pada maksiat fizikal zina, liwat dan yang seumpama dengannya.

Saya cuba menyelami masalah mereka, dan nyatanya mereka adalah golongan yang sangat kesunyian dan sepi. Mereka hidup dalam kesunyian, bukan kerana kosong dari kehidupan berkawan dan berakan taulan. Sunyi itu datang kerana mereka sering memikul diri lari jauh dari semua orang di sekitar mereka, bersama rahsia yang terlalu berat untuk jatuh ke pengetahuan manusia. Mereka ini adalah manusia yang bersembunyi di tengah ramai.


SEKADAR NASIHAT
Nasihat pertama saya kepada remaja seperti ini, adalah untuk terus bertahan dari mendekati liwat dan cabang-cabangnya. Sebagaimana lelaki mukmin perlu menjauhkan dirinya dari zina, maka lelaki dari kumpulan ini juga mesti menjauhkan diri mereka dari zina sejenis, kerana kedua-duanya adalah kekalahan seorang manusia kepada hawa nafsunya yang mengundang penyesalan tanpa hujung. Allah tidak menghukum kalian atas perasaan itu, tetapi hukuman dan kemurkaan bakal menimpa kalian yang merealisasikannya pada perbuatan.
Kuatkan iman, teguhkan pendirian.

Namun saya berpandangan, perjuangan mempertahankan diri dari zina sejenis ini, jauh lebih sukar, kerana golongan ini sentiasa tinggal bersama golongan yang menjadi kecenderungan nafsunya. Jika lelaki normal’ boleh menghindarkan dirinya dari pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, golongan ini pula harus teguh berganda…


CEBURKAN DIRI PADA AMAL ISLAM
Tempuhilah usia akhir belasan tahun, dan 20an itu sebagai usia mujahadah menentang gelodak hormon dan ketidak seimbangan emosi yang rumit. Berikan diri kepada aktiviti-aktiviti, khususnya kerja Islam, dan sambutlah kesukaran-kesukaran yang muncul sebagai cara Allah mengekalkan kita dalam kebaikan.
“Barangsiapa yang Allah mahukan dirinya berada dalam kebaikan, diujinya dia itu dengan kesusahan” (Al-Bukhari dan Muslim)
Kesusahan hidup di jalan dakwah, akan menyulitkan nafsu bangun menjajah keputusan diri. Bukan saya bermaksud agar mereka ini perlu sengaja mencari kesusahan diri, tetapi jalan dakwah dan kesibukan akan menghindarkan setiap remaja lelaki yang normal dan ‘tidak normal’ ini dari dosa fahsya’ seperti zina dan yang seumpama dengannya. Sibukkan diri. Jangan iyakan perasaan itu.
rukudulmaa.JPG
Rukood al-maa’ yufsiduhu, firaagh asy-syaab yaqtuluhu
“Air yang bertakung tidak mengalir akan dirosakkan oleh statiknya itu, pemuda yang banyak masa lapang (tidak dinamik) akan dibunuh oleh masa lapangnya itu” – Pepatah Arab
Berikan peluang kepada diri untuk melepasi usia 20an itu, sehingga keredaan naluri muncul seiring dengan pertambahan usia.
“Ustaz, apakah saya ada peluang untuk menyintai wanita, berkahwin, mempunyai anak, seperti manusia yang lain?” soalan yang sering diajukan kepada saya.
demimasa.jpg
“Berilah peluang kepada masa untuk merawat kesakitan jiwa itu, dengan syarat kamu tetapkan diri pada menjauhkan diri dari maksiat. Tunggulah hingga reda gelodak nafsu itu pada usia remaja seperti ini, dan nanti, kita berbuallah tentang liku-liku mencari jalan pada sebuah perkahwinan, yang diinginkan tanpa keinginan itu…, itu sahaja batas upaya saya berkongsi pandangan.

Bagi ibu bapa, dan pihak penaja yang menghantar pelajar ke luar negara, ketahuilah bahawa kebebasan undang-undang dan persepsi persekitaran terhadap homoseksualiti ini telah dan sedang begitu rakus mengorbankan banyak anak muda kita. Sukar untuk saya ungkapkan dengan perkataan, kerana jika dicadangkan AGAMA sebagai benteng penyelesaian, ramai yang sinis kerana mabuk POLITIK hingga takut kepada SIASAH, lantas terlupa kepada fungsi besar AGAMA, bahtera penyelamat buat manusia.
Semoga Allah memelihara kita semua, dan adik-adik remaja ini dari fitnah dunia akhir zaman yang sungguh kejam terhadap mana-mana insan yang mahu hidup dengan bara Islam yang digenggam.
Tabahkan hati…
ABU SAIF @ www.saifulislam.com

Saturday, January 15, 2011

MUSLIMAH ITU....

Muslimah Itu Bukan Sekadar Bertudung Labuh
Muslimah Itu Bukan Sekadar Berjubah
Muslimah Itu Bukan Sekadar Berstokin
Tetapi TAKWA Di Dalam Diri Juga

Sahabat Omar al-Khattab bertanya kepada sahabat Ubai bin Kaab tentang maksud takwa. Ubai berkata, "Pernahkah kamu berjalan di sebatang jalan yang dipenuhi onak dan duri?" Jawab Omar, "Ya,pernah." Ubai bertanya lagi, "Apa yang kamu lakukan ketika itu?" Omar berkata, "Aku berhati-hati dan bersungguh-sungguh (syammartu wajtahadtu)."Berkata Ubai, "Itulah takwa." (al-Asas fit Tafsir, Said Hawa, jil. 1, hal 84)

Nabi bersabda, "Seseorang tidak akan sampai ke makam takwa sehingga dia meninggalkan sesuatu yang harus kerana ingin menjaga dirinya dari sesuatu yang dilarang." Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dan Ibn Majah dan mengikut Tirmizi, hadis ini bertaraf hasan gharib.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلا تَمُوتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ (١٠٢)

102. Wahai orang-orang Yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah Dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan Dalam keadaan Islam.

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَى شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ (١٠٣)

103. Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (Agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu Dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu Dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam Yang bersaudara. dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.

(Surah Ali Imran : Ayat 102 - 103)

Wallahualam.